Wednesday, December 29, 2010

Ada Jawatan Ada Tanggungjawab



Ada Khaliq ada makhluk
Ada awal ada akhir
Ada mula ada tamat
Ada pangkal ada hujung
Ada baik ada jahat
Ada roh ada jasad
Ada syaitan ada malaikat
Ada jin ada manusia
Ada lelaki ada wanita
Ada nabi/rasul ada umat
Ada pemimpin ada rakyat
Ada umara' ada ulama'
Ada majikan ada pekerja
Ada jawatan ada tugas
Ada tugas ada balasan
Ada hero ada 'crook'
Ada nikmat ada azab
Ada syurga ada neraka
Ada siang ada malam

Begitulah sempurnanya sunnatullah yang dijadikan oleh Allah Azza Wa Jalla..
Pilihlah mana-mana yang dikehendaki sesuai dengan jawatan,tugas,bahagian dan kelebihan masing-masing. Jangan biarkan diri kite tiada hala tuju atau pun matlamat hidup ataupun terumbang-ambing dengan fitnah dan cabaran zaman.. Selamat Menyambut Tahun Baru 2011... Moga-moga tahun depan nanti adalah tahun yang lebih baik daripada tahun-tahun terdahulu dengan peningkatan iman,ilmu,amal dan kebajikan... aaamin

Tuesday, December 28, 2010

Azam & Tekad

Alhamdulillah sampai umur hamba yang ke 36 tahun pada 25hb Disember lepas..Teringat ambo kepada pesanan Kiyai Sesepuh Hj Maimon Zubir dari Indonesia mengenai 9 peringkat usia pada ucaptama perasmian Majlis Ijtimak Nusantara ke 2 pada tahun 2007 di Al Jenderami dahulu. Beliau merupakan tetamu utama yang diberi kepercayaan menyampaikan amanat mengenai Warisan Nabawi sempena Majlis Sambutan Maulidurrasul S.A.W di Al Jenderami.

Beliau menegaskan bahwa terdapat 9 fasa usia kite kebanyakan umat Nabi Muhammad S.A.W iaitu :

1. 0 - 7 tahun - Fasa 1
2. 8 - 14 tahun - Fasa 2
3. 15 - 21 tahun - Fasa 3
4. 22 - 28 tahun - Fasa 4
5. 29 - 35 tahun - Fasa 5
6. 36 - 42 tahun - Fasa 6
7. 43 - 49 tahun - Fasa 7
8. 50 - 56 tahun - Fasa 8
9. 57 - 63 tahun - Fasa 9


Ambo sekarang sedang berada di fasa ke 6, yang mana hanya tinggal 3 fasa lagi mengikut peruntukan purata hayat umat Nabi Besar Muhammad S.A.W..

Fasa 1 , 2 & 3 adalah fasa yang diperuntukkan untuk mengambil seberapa banyak ilmu pendidikan dan pengalaman...kerana kecerdasan otak,akal fikiran ,hati dan jiwa yang bersih sesuai untuk menerima pendidikan dan tunjuk ajar guru...

Fasa 4 & 5 adalah fasa untuk meneruskan kerja-kerja amal yang berkesan sesuai dengan ilmu dan tunjuk ajar yang diperolehi kerana pada fasa ini , tenaga yang menyala berkobar - kobar serta anggota badan yang sempurna boleh menghasilkan impak yang maksima di atas tindak tanduk dan juga gerak kerja dalam beramal ibadat.

Fasa 6,7,8 & 9 adalah fasa di mana kekuatan tenaga kerja dah mula menurun begitu juga kekuatan fikiran juga makin terjejas kerana panca indera dan pengamatan semakin kurang awas. Beruntunglah kepada sesiapa yang telah berjaya melalui fasa - fasa 1 hingga 5 dengan sempurna kerana pada peringkat ini mereka akan memperolehi kesan yang baik lanjutan atau NATIJAH daripada kejayaan tersebut.. contohnya... Mereka akan dapat tenang beramal dgn istiqamah.

Monday, December 27, 2010

Kaya



Ya Ghaniy Ya Mughniy..

Masih lagi berkisar pasal tahun dan juga azam... Maklumlah kite sekarang berada dihujung tahun masehi(Disember) dan juga awal tahun hijrah (Muharam). Alkisahnye banyak la orang dok cerita pasal azam & serta hajat baru... murah & luas rezeki, panjang umur, sihat tubuh badan, tenang hati serta tenteram jiwa dan tak lupa juga ingin KAYA....

Begitu juga ada juga syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan membuat pemeriksaan kira-kira untuk mengetahui untung rugi syarikat masing-masing...Maka banyaklah faktor dan kriteria yang diselidiki dan dititikberatkan bagi menentukan sama ada kite atau pun syarikat beroleh keuntungan atau sebaliknya..

Tapi tahukah anda apakah faktor utama yang menyebabkan seseorang itu boleh menjadi sekaya-kaya manusia...Sesungguhnya sekaya-kaya manusia ialah seseorang yang meyakini di dalam hatinya bahawa dirinya tidak memiliki sesuatu pun bahkan segala sesuatu itu hanyalah milik Allah Jalla Wa Azza yang bernama Al Ghaniy dan Al Mughniy...Dengan yang demekian hatinya menjadi kaya dengan tenteram,tenang, istiqamah dan ikhlas dalam usaha dan amalnya untuk beribadah kepada Allah Taala tanpa gangguan yang boleh mengganggu gugat atau merosakkannya....

Pohonlah moga2 diberikan kekayaan oleh Allah Taala dengan memperbanyakkan zikir
Ya Ghaniy & Ya Mughniy..


p/s: ambo baru je mendapat pesanan dari oghe rumoh suroh beli KAYA & PEANUT BUTTER...

Monday, December 13, 2010

Hijrah & Ziarah



Salam Maal Hijrah 1432... makin bertambah usia digunakan dan makin berkurang sisa atau baki umur yang ada sebelum ajal kite semua sampai... Kali ni ambo pakat2 balik kampung ziarah mek bonda,sedara mara, saeng sobat handai, guru-guru dan serta keluarganya. Ambo mula hijrah keluar dari kampung halaman ambo ( Kg Beringin Kota )iaitu sejak tahun 1992 dahulu... sebabnyo gi sambung belajar di UTM Johor selama 5 tahun. Lepas tu...terus ambo hijrah ke Selangor mulakan penghidupan mencari rezeki sehinggalah berumahtangga dan beranak - pinak di Selangor Darul Ehsan.... sedar tak sedar sudah 13 tahun ambo mencari rezeki dan menetap di Selangor.... Sudah 18 tahun lebih lah kira-kiranya ambo keluar dari kampung laman di Kota Bharu Kelantan Darul Naim.


Hampir separuh umur ambo dihabiskan dengan berada di perantauan jauh dari kampung halaman dan juga mek bonda... Pada cuti sekolah lepas,,,ambo ambil peluang selama seminggu balik kg ziarah mek bonda & kluarga serta saeng sobat dan juga guru.. Termasuk ziarah kubur arwah ayahanda, guru, dan juga saudara-mara yg telah pergi... Ziarah mereka yang telah mati juga dituntut di dalam Islam kerana ia banyak mengingatkan kite akan kematian dan juga mendatangkan keinsafan.




Pusara guru... Arwah Hj Mohd Qasim Bin Zakaria.



Ni gambar Tn Hj Muhammad bin Haji Mohd Qasim anak kepada arwah guru ambo sebagai kenangan diambil semasa menziarahi pusara ayah beliau pada 8hb Disember 2010 @ 2hb Muharram 1432...Teringat kembali sewaktu mula dihantar oleh mek bonda untuk belajar mengaji muqaddam & al quran pada umur 6 tahun iaitu 1980 untuk belajar dgn arwah Pak Da Sim ( panggilan mesra untuk arwah Hj Mohd Qasim bin Haji Zakaria . Berkah hemmah dan didikan beliau ambo buleh mengaji quran dengan lancar, belajar adab dan kenal pulak serta bergaul dengan orang2 tua....

Ambo belajar & mengaji dengan arwah Pak Da Sim sehinggalah habis SPM , pastu sambung belajar ke UTM pada tahun 1992... Walaupun sambung belajar di UTM,, tiap2 kali cuti semester,,, kalu ambo balik kg... ambo tidak akan luput untuk ziarah dan belajar dengan beliau sehinggalah beliau pergi kehadrah Allah Jalla Wa Azza pada November 1999... Pada masa tu ambo sangat sedih sebab tak dapat hadir menziarahi jenazah beliau kerana dok bekerja di Selangor... Ambo hanya dapat menziarahi pusara beliau setelah pulang berhari raya puasa pada tahun tersebut.. itupun dengan iringan anak beliau juga iaitu Ustaz Omar... Setelah 11 tahun beliau pergi baru sekarang Allah s.w.t. buka dan gerakkan hati ambo untuk sambung balik menziarahinya... Alhamdulillah...Mohon supaya Allah Taala tidak jadikan ambo ni sebagai murid yang derhaka & kurang adab pada guru.... Kini ambo terus berada di bawah didikan guru yang ambo mula belajar / kenal pada September 1998 iaitu Syeikh Hj Mohd Hafiz B Hj Selamat Al Jenderami...

Thursday, November 18, 2010

KORBAN & AGAMA ISLAM



Korban,pengorbanan, perjuangan & terkorban.....
Korban adalah sunnah dalam kehidupan dan perjuangan.
Perjuangan yang sebenar adalah perjuangan yang berdasarkan kepada yang Haq iaitu yang didasari dengan kehendak Khaliqul Haqqul Mubin Allahu Jalla Jallaluh. Pengorbanan sepatutnya mengikut kaedah atau kaifiyat yang telah ditetapkan syarak. Pengorbanan di dalam perjuangan agama Islam adalah wajib di atas sekelian mukmin.. Manakala ibadat khusus korban adalah sunat muakkad.



Tahun ni... masuk kali ke 2 ambo dan keluarga menyertai kemeriahan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban di Al Jenderami setelah 4 tahun iaitu pada tahun 2006M.
Terubat rasa rindu terhadap suasana hari raya haji di kampung halaman , Kota Bharu Kelantan.



Suasana sayu takbir raya serta khutbah yang berkesan oleh Tuan Guru Sheikh Hj Mohd Hafiz B. Hj Selamat membuatkan diri insaf terhadap betapa kecilnya pengorbanan diri di dalam menegakkan agama Islam serta syiar-syiarnya. Apalah jika hendak dibandingkan dengan guru-guru,ulama-ulama dulu, wali-wali, nabi2 dan rasul-rasul yang sanggup berkorban di dalam segala hal kehidupan mereka di dalam meninggikan Tauhid dan agama Islam.

Mudah-mudahan diri ini dimasukkan di dalam golongan yang tidak bakhil dalam pergorbanan terhadap agama Islam dengan berkat guru-guru mursyid yang ikhlas dan didikan mereka itu.... aaamin.

Tuesday, November 2, 2010

Lambaian Kaabah



Hari ni, 25 Zulkaedah. 1431H dah masuk bulan haji... InsyaAllah beberapa hari saja lagi umat Islam seluruh dunia akan meraikan hari raya haji sempena ibadah haji yang menjadikan Mekkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawwarah sebagai titik tumpu yang penting. Para jemaah haji yang dijemput menjadi tetamu Allah Jalla Wa Azza sibuk mempersiapkan diri dengan amal-amal,bekal dan kelengkapan lain bagi memastikan supaya dapat melaksanakan ibadah haji masing-masing dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur. Hati jemaah semuanya tertumpu kepada ibadah haji semata-mata; segala kesibukan duniawi yang lain dilupakan seketika kerana suasana ibadah agung yang mengelilingi dan menyelubungi mereka begitu terkesan di dalam hati mereka.

Alangkah beruntung sekali jika kehidupan beribadah para jemaah haji juga terkesan setelah kembali daripada selesai mengerjakan ibadah haji. Inilah dia yang dinamakan mendapat haji MABRUR sepertimana yang dicita-citakan oleh sekelian muslimin yang berkunjung ke Mekkah untuk mengerjakan haji.

Bermula amal itu dengan niatnya... Bermula amal seseorang itu juga dengan kesudahanya.. Maka mulakan setiap sesuatu dengan niat untuk beramal mudah-mudahan diakhirinya juga nanti insyaAllah dengan kesudahan yang baik... aaamin

Sayu hati ambo pada bulan haji tahun ni... sebabnyo ada 3 perkara : 1. Tarikh lahir ambo jatuh pada 10 Zulhijjah.. genap umur 37thn hijrah tahun ni. 2. Rindu sungguh dalam hati nak bertamu ke sana. 3. Hari haul kematian arwah abang ipar iaitu pada 12 Zulhijjah. Al fatihah.

Mudah2an dipermudahkan oleh Allah Taala ke tanah suci yang berkah dengan berkat solawat dan syafaat rasulullah s.a.w. aamin

Tuesday, October 26, 2010

Melentur Buluh


Kata pepatah..." Melentur buluh biarlah dari rebungnya". Anak-anak seperti kain putih; ibu bapalah yang diamanahkan untuk mencorakkannya sama ada menjadi Islam,Majusi ataupun Nasrani. Tugas mendidik anak-anak pada asalnya terbeban di atas bahu ibu bapa. Ibu bapa yang baik adalah ibu bapa yang menjadi pendidik dan contoh tauladan yang baik bagi anak - anak. Janganlah pula jadi seperti ibu ketam yang mengajar anaknya hendak berjalan betul sedangkan diri sendiri sememangnya tidak pernah betul dan cuba untuk memperbetulkan perjalanan..
selesai solat zohor berjemaah..

taklimat acara " Treasure Hunt"

taklimat acara " Merentas Halangan"
Jungle trekking.




Alhamdulillah syukur , dengan berkat hemmah para guru, ibu bapa dan petugas-petugas yang sedia berkhidmat demi kepentingan pendidikan agama dan akhlak islamiah di kalangan anak-anak satu kem motivasi anak angkat JISADANI AL JENDERAMI berjaya dilaksanakan dengan sokongan,kerjasama dan kesungguhan para " khadam ilallahi taala" . Mudah-mudahan menjadi titik tolak kepada perkembangan pendidikan anak-anak generasi masa hadapan bagi meneruskan kesinambungan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia ini.... aaamin.

Friday, October 8, 2010

Manusia & Peristiwa

Manusia adalah satu istilah dalam bahasa Melayu yang pada dasarnya diambil dari kata dasar bahasa Arab iaitu Insan...An Nas.. yang membawa maksud lupa.. Tetapi menurut istilah manusia adalah merujuk kepada orang iaitu makhluk ciptaan Allah Taala yang dikurniakan padanya akal,jiwa,nafsu,roh dan juga anggota zahir.
(http://www.membuatblog.web.id/2010/02/pengertian-hakikat-manusia.html)

Manakala peristiwa pula adalah hal kejadian ataupun sesuatu perkara yang berlaku pada masa yang tertentu. Manusia & Peristiwa adalah tidak akan dapat dipisahkan kerana manusia juga adalah kejadian iaitu makhluk ciptaan Allah Jalla Wa Azza. Kejadian atau peristiwa akan menjadi kisah dan juga sejarah.

MANUSIA,PERISTIWA,KISAH DAN SEJARAH AKAN BERULANG - ULANG SESUAI DENGAN TAKDIR DAN SUNNATULLAH.

Beruntunglah kepada manusia yang prihatin dan mengambil iktibar serta faedah daripada peristiwa,kisah dan sejarah yang berlaku dari masa ke semasa.

Ada satu peristiwa besar yang berlaku di dalam bulan Zulqaedah bagi kita umat Islam iaitu ..Haul Imam Habib Abdullah Bin Alwi Al Haddad yang ke 299.

Monday, October 4, 2010

Mengenang Budi





Tempat jatuh lagikan dikenang
Inikan pulak tempat mula..

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi bawa ke mati

Orang memberi kita merasa
Orang berbudi kita berbahasa

Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati meninggalkan nama

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Walaupun badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga

Alangkah banyak sungguh pantun-pantun dan pujangga kita bangsa Melayu yang membicarakan tentang budi dan juga bahasa. Sesuai sekali dengan kesantunan dan kesusilaan kita orang Melayu Islami yang sangat menggalakkan umatnya berbudi dan juga mengenang budi.

Masihkah kita ingat siapa guru di kampung halaman dulu yang mula menunjuk ajar kita macam mana nak membaca muqaddam,, alif ba ta sehingga kita pada masa sekarang ini sudah boleh mengaji al quran dengan lancar sekali.

Masihkan kita ingat siapa guru di sekolah rendah dulu yang mula mendidik kita macam mana nak mengenal huruf A , B , C sehingga mana kita boleh lulus di mana -mana universiti sekarang ini.

Ingat !!! Seorang GURU akan tetap dipanggil GURU ,CIKGU atau USTAZ walaupun secara rasmi beliau tidak berkhidmat sebagai guru lagi.

Berbahagialah kepada sesiapa yang masih lagi berhubungan dengan guru-guru kerana mengenang budi mereka itu. Dengan berkat hemmah , kesungguhan dan disiplin merekalah kita semua juga dapat memperolehi ilmu sepertimana yang kita capai sekarang ini.

Monday, September 27, 2010

Amalan Ziarah


Telah ditulis di dalam kitab Jam'ul Fawaid Wal Qalaid karangan Syeikh Daud Fatani mengenai bab Aidul Fitri...

Bahawasanya di dalam syurga nanti... Ahli syurga boleh menziarahi ahli-ahli syurga yang lain dengan tenang, gembira dan kasih sayang.
Hari Sabtu... Anak-anak akan menziarahi ibu bapa di mahligai masing-masing.
Hari Ahad .. Ibu bapa menziarahi anak-anak.
Hari Isnin.. Murid - murid menziarahi guru - guru.
Hari Selasa.. Guru - guru menziarahi murid - murid.
Hari Rabu.. Umat- umat menziarahi nabi dan rasul.
Hari Khamis.. Nabi dan rasul menziarahi umat masing - masing.
Hari Jumaat.. Sekelian hamba menziarahi Khaliq Allah Azza Wa Jalla.

Monday, September 20, 2010

Syawal & Kemenangan



Syukur ke hadrat Allah Azza Wa Jalla kerana dengan izin dan limpah kurniaNya diri ini telah berjaya melepasi ujian dan ibadat puasa di bulan mulia Ramadan al Mubarak..Alangkah beruntung bagi sesiapa yang berjaya mengisinya dengan amalan baik dan mulia sepertimana dituntut oleh syarak. Mudah2an amalan yang telah dilakukan semasa Ramadan diteruskan dengan istiqamah pula sesuai dengan kemenangan pada aidilfitri.


Adalah menjadi amalan yang baik untuk menghidupkan malam aidilfitri atau raya dengan tahmid,takbir,tasbih,tahlil,istighfar,solawat dan munajat ke hadrat Ilahi. Ada yang mengadakan solat tasbih, bertakbir dari rumah ke rumah , tahlil arwah serta doa bagi memenuhi keceriaan di malam raya.


Tuesday, August 24, 2010

Ziarah Maqam Habaib @ Johor Bahru & Batu Pahat

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana diberikan kesempatan untuk sama-sama menziarahi maqam habaib bersama-sama dengan Pak Syeikh , Tn Guru Hj Mohd Hafiz Hj Selamat pada tanggal 8hb August 2010 lalu setelah selesai menghadiri majlis khataman kuliah, maulid ,yaasin,ratibul attas dan juga asmaul husna di kediaman Habib Husin di Kempas Johor Bahru.

Majlis Khataman di Rumah Habib Husin Kempas JB

Ziarah Ayah Bonda Pak Syeikh


Maqam Habib Mohsein Bin Umar Al Attas




Maqam Habib Salim B. Ahmad B Mohsein Al Attas Mufti Pertama Johor





Maqam Habib Husin Bin Salim Al Attas




Maqam Habib Ali B. Jaafar Al Idrus Batu Pahat




Barakah Ziarah Habaib... pekena Kue Tiaw Bandung Batu Pahat....

Monday, August 23, 2010

Cenderung dan Sempurna





Alhamdulillah ,, kita semua sudah berada di 13hari bulan Ramadan al Mubarak iaitu penghulu segala bulan kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Tidak syak lagi sebagai bulan khusus kepada ummat Nabi Besar Junjungan Muhammad s.a.w kerana banyaknya faedah yang diperuntukkan buat kita semua...Oleh kerana banyaknya kelebihan padanya sehingga pelbagai nama diberikan umpamanya.. al mubarak,as shiyaami, al qiyaami, rahmat, tarbiyyah dan lain-lain lagi.

Pendek kata dalam bulan Ramadhan, kita semua akan jinak dan cenderung untuk melakukan amal kebajikan berbanding pada bulan - bulan lain dalam setahun. Bermula dengan persiapan untuk berbuka sehinggalah kepada menghidupkan malam Ramadhan dengan amal-amal kebajikan. Terdapat syarikat swasta dan juga badan kerajaan yang membuat jadual waktu kerja yang bersesuaian bagi membolehkan pekerja atau staf Muslimnya dapat balik awal untuk berbuka puasa bersama-sama keluarga di rumah.

Masjid dan surau menjadi tumpuan kaum muslimin yang ingin beribadat dan membuat kebajikan seperti solat,bersedekah,tadarus al quran,qiamullail,iktikaf dan pelbagai lagi.Malah banyak majlis ilmu seperti tazkirah dan kuliah dianjurkan pada malam atau siang Ramadan. Alangkah bagus sekali jika sekiranya kejinakan atau kencederungan untuk beramal kebajikan sepertimana terdapat pada bulan Ramadan ini diteruskan tanpa henti sehinggamana kesempurnaan ilmu,iman dan amal kebajikan dapat membuahkan hasil peribadi Muslim dari tarbiyyah dan barakah "bulan ummat" tersebut.

Doa Solat Terawikh


اَلْحَمْدُ لِلَّه رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ، يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِيْ لِجَلاَلِ وَجْهِكَ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

اَللَّهُمَّ اجْعَلْنَا بِاْلإِيْمَانِ كَامِلِيْنَ، وَلِفَرَائِضِكَ مُؤَدِّيْنَ، وَعَلَى الصَّلَوَاتِ مُحَافِظِيْنَ، وَلِلزَّكَاةِ فَاعِلِيْنَ، وَلِمَا عِنْدَكَ طَالِبِيْنَ، وَلِعَفْوِكَ رَاجِيْنَ، وَبِالْهُدَى مُتَمَسِّكِيْنَ، وَعَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضِيْنَ، وَفِى الدُّنْيَا زَاهِدِيْنَ، وَفِى اْلآخِرَةِ رَاغِبِيْنَ، وَبِالْقَضَاءِ رَاضِيْنَ، وَبِالنَّعْمَاءِ شَاكِرِيْنَ، وَعَلَى الْبَلاَيَا صَابِرِيْنَ، وَتَحْتَ لِوَاءِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ في يَوْمِ الْقِيَامَةِ سَائِرِيْنَ، وَعَلَى الْحَوْضِ وَارِدِيْنَ، وَفِى الْجَنَّةِ دَاخِلِيْنَ، وَعَلَى سَرِيْرَةِ الكَرَامَةِ قَاعِدِيْنَ، وَبِحُوْرٍ عِيْنٍ مُتَزَوِّجِيْنَ، وَمِنْ سُنْدُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ وَدِيْبَاجٍ مُتَلَبِّسِيْنَ، وَمِنْ طَعَامِ الْجَنَّةِ آكِلِيْنَ، وَمِنْ لَبَنٍ وَعَسَلٍ مُصَفَّيْنِ شَارِبِيْنَ، بِأَكْوَابٍ وَأَبَارِيْقَ وَكَأْسٍ مِنْ مَعِيْنٍ، مَعَ الَّذِيْنَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّيْنَ وَالصِّدِّيْقِيْنَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِيْنَ.
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنَا فِيْ هذِهِ اللَّيْلَةِ الشَّرِيْفَةِ الْمُبَارَكَةِ مِنَ السُّعَدَاءِ الْمَقْبُوْلِيْنَ، وَلاَ تَجْعَلْنَا اللَّهُمَّ مِنَ اْلأَشْقِيَاءِ الْمَرْدُوْدِيْنَ، إِلهَنَا عَافِنَا وَاعْفُ عَنَّا، وَاغْفِرِ اللَّهُمَّ لَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَلأُمَّهَاتِنَا، وَلإِخْوَانِنَا وَلأَخَوَاتِنَا، وَلأَزْوَاجِنَا وَلأَهْلِيْنَا َوِلأَهْلِ بَيْتِنَا، وَلأَجْدَادِنَا وَلِجَدَّاتِنَا، وَلأَسَاتِذَتِنَا وَلِمَشَايِخِنَا وَلِمُعَلِّمِيْنَا، وَلِمَنْ عَلَّمْنَاهُ وَلِذَوِى الْحُقُوْقِ عَلَيْنَا، وَلِمَنْ أَحَبَّنَا وَأَحْسَنَ إِلَيْنَا، وَلِمَنْ هَدَانَا وَهَدَيْنَاهُ إِلَى الْخَيْرِ، وَلِمَنْ أَوْصَانَا وَوَصَّيْنَاهُ بِالدُّعَاءِ، وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ.
وَاكْتُبِ اللَّهُمَّ السَّلاَمَةَ وَالْعَافِيَةَ عَلَيْنَا وَعَلَيْهِمْ، وَعَلَى عَبِيْدِكَ الْحُجَّاجِ وَالْمُعْتَمِرِيْنَ وَالغُزَاةِ وَالزُّوَّارِ وَالمُسَافِرِيْنَ، فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَالْجَوِّ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ، وَقِنَا شَرَّ الظَّالِمِيْنَ، وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِيْنَ، يَا مُجِيْبَ السَّائِلِيْنَ، وَاخْتِمْ لَنَا يَا رَبَّنَا مِنْكَ بِخَيْرٍ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى خَيْرِ خَلْقِهِ مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ


Ya Allah, jadikanlah kami orang yang imannya sempurna. Boleh mengerjakan yang wajib/fardu. Boleh menjaga solat dan menunaikan zakat. Boleh menuntut/ mencari kebaikan di sisi-Mu, mengharap ampunan-Mu, memegang teguh petunjuk-Mu, berpaling dari penyelewengan, zuhud (sederhana) terhadap dunia, mencintai amal untuk bekal akhirat, reda terhadap takdir / kepastian (Allah), syukur terhadap nikmat yang telah diberikan, dan sabar terhadap segala ujian.Dan mudah2an di hari kiamat nanti, kami dalam satu barisan dibawah panji junjungan Nabi Muhammad SAW melewati telaga yang sejuk, boleh masuk surga, duduk di atas tahta kehormatan, didampingi bidadari, mengenakan pakaian kebesaran dari sutra warna warni, menikmati makanan surga, minum susu dan madu murni. Dalam gelas2 dan kendi2 yang tak pernah kering, bersama mereka yang tlah Engkau beri nikmat kepadanya dari golongan para Nabi para Shiddiqin, para syahid (yang gugur dalam membela agama Allah), para solihin, dan baik sekali mereka menjadi kawan kami.Demikianlah kemurahan dari Allah dan mudah2an Dzat yang Maha Mengetahui memberi kecukupan. Dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta alam.

Friday, August 20, 2010

Haul Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah Bt. Khuwailid Al Qubro



11 Ramadhan (HARI IBU BAGI ORG YG BERIMAN)
Hari memperingati kembalinya Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah Bintu Khuwailid Al-Kubra isteri kpd Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wa Alaiha Wa'a'lihi Wa Salam ke Rofiqul A'la. Wanita pertama beriman kpd Rasulullah s.a.w. telah melahir 6 caha...yamata Rasulullah s.a.w.

Wanita pertama yang mendapat ucapan Salam terus dari Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibril as. kpd Rasulullah s.a.w yg telah mengkhabarkan kpd Isteri Baginda, " Allah s.w.t. telah menyediakan sebuah rumah yg khusus kpd Sayyidah Khadijah di dalam Syurga yg diperbuat dari batu2 permata indah dan cantik tidak ada kebisingan didalamnya dan tidak ada keletihan & kepenatan padanya "

Sayyidatina Khadijah menjawab dgn kebijaksanaan secara sepontan dihadapan suaminya Rasulullah s.a.w. Allahumma Antas Salam Wa Minkas Salam Wa Ilaika Yau'dus Salam Fahaiyyina Rabbana Bis Salam Wa Jibril Alaihis Salam.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda " Barang siapa yang mengembirakan Fatimah sesungguhnya ia telah mengembirakan Aku dan sesiapa yang menyakiti Fatimah sesungguhnya ia telah menyakiti aku & sesiapa yg menyakiti aku ianya mendapat kemurkaan Allah s.w.t." Seperti mana yang telah dikatakan Oleh Rasulullah s.a.w.

Apa lagi kalau malam ini, kita raikan hari IBU Ummul Mukminin Sayyidah Khadijah Al-Kubra Rodiallahu Anha ianya jelas mengembirakan RohNya Rasulullah Sollallahu Alaihi Wa Alaiha Wa'alihi Wasalam dan pasti akan mendapat Rahmat & RedhoNya Allah s.w.t.

Sambutlah malam ini, 11 Ramadhan 1431H (Jumaat mlm Sabtu) dengan bacaan Yassin & Tahlil khasnya kpd Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah Al-Kubra semoga mendapat taufiq dan Hidayah dari Allah s.w.t. Amin Ya Robbal A'lamin. Al-Fatihah...

Mula Pertama

Mula pertama nabinya Adam
Nenek manusia kafir dan Islam
Asalnya Adam di Darussalam
Di tempat Izrail tanah segenggam

Duduklah Adam seorang diri
Berjalan di syurga hari sehari
Rindunya Adam tidak terperi
Cintanya ia hendak beristeri

Rindunya Adam Allah ketahui
Dijadikan Hawa tulang rusuk kiri
Dikahwin Adam Jibrail saksi
Diberikan maskahwin solawat ke atas Nabi

Duduklah Adam di dalam syurga
Datang Iblis mandi akan dia
Keluarlah Adam dari syurga
Kerana Iblis mendatangkan duka

Tuesday, August 17, 2010

Zikir Penyembuh




Ketahuilah wahai sekelian saudaraku, bahawasanya Nama Allah Taala ” Assyafi” itu adalah satu Nama yang besar bagi mempercepatkan sembuh penyakit-penyakit yang menyusahkan.
Pesakit yang banyak membaca Nama Allah Taala ini, akan segera diafiatkan Allah Taala dari penyakitnya.
Ketika sakit bacalah surah Al-Fatihah 7 kali dan ” Ya Allah Ya Syafi” sebanyak 442 kali.
Kata Syeikh Ali Albuni Rahimahullah Taala, “telah aku suruh akan Mahmud Bin Syah membaca isim peyembuh ini kerana penyakit kusta yang dideritainya, sehingga lari tabib-tabib kerana tidak mahu mengubati penyakitnya. Maka tidak berapa lama, selepas 15 hari berlalu penyakitnya sembuh seolah-olah dia tak pernah kena penyakit itu.” Wallahu a’lam.

Wednesday, August 11, 2010

Marhaban Ya Syahra Ramadan

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...


Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar


Marhaban Ya Syahra Ramadan
Marhaban Ya Syahra Shiyaami
Marhaban Ya Syahra Ramadan
Marhaban Ya Syahral Qiyaami


" Barangsiapa yang gembira dan suka akan kedatangan Ramadan Al Mubarak kerana seronok untuk beramal padanya nescaya akan diharamkan dari siksa api neraka"

Selamat Beramal Di Bulan Ramadan Al Mubarak....

Tuesday, August 10, 2010

Wirid dan Warid













Jika kau melihat seorang yang ditetapkan oleh Allah dalam menjaga wirid-wiridnya; dan sampai lama tidak juga menerima Kurnia(Keistimewaan) dari Allah, maka jangan engkau remehkan pemberian Allah(dapat mengekali wirid-wirid tersebut) kerana belum terlihat padanya tanda-tanda orang Arif atau Keindahan cinta pada Allah, sebab sekiranya tidak ada WARID(Kurnia Allah), nescaya tiada WIRID dari hamba tersebut.(Petikan dari terjemahan Kitab HIKAM Tok Pulau Manis )

Yang dimaksudkan dengan wirid mereka ialah apa sahaja perbuatan/pekerjaan yang ditujukan kerana Allah mengikut apa yang dituntut dan digalakkan oleh syarak. Tidaklah ianya semata-mata ditujukan kepada mereka yang mengamalkan zikir-zikir yang khususiyah dengan kadar dan bilangan yang tertentu atau dengan tertib masa dan ketikanya. Tetapi bahkan, Wirid boleh muncul dalam pelbagai wajah dan bentuk.
Mengekalkan sembahyang sunat di waktu siang atau malam
Mengekali puasa pada umpamanya setiap hari Isnin dan Khamis,
Mengekali membaca al-Qur'an
Mengekali bertasbih, berzikir, bertahmid dan beristigfar pada waktu-waktu yang khusus atau di mana-mana sahaja
Mengekali menuntut ilmu akhirat,
Mengekali Mentelaah Kitab-kitab Ilmu
Mengekali Takafur dan Muhasabah
Mengekali membuat kebaikan dan kebajikan kepada manusia lain seperti,
Suka membersihkan tandas dan kawasan surau tanpa disuruh atau upahan
Membuang sampah dan sesuatu yang membahayakan di jalan-jalan yang dilalui oleh orang ramai
Sedia menghulurkan bantuan tenaga dan fikiran apabila dipinta;
Banyak memberi dan sedikit meminta;
dan pelbagai sifat-sifat baik perangai lain sebagaimana yang tercermin pada diri orang-orang Sholeh, Aulia, Ambiya dan Mursalin.


Adapun yang dikatakan Warid itu ialah sesuatu yang berupa bentuk limpah kurnia Allah Taala yang dicampakkan ke dalam hati seorang hamba dengan berbagai-bagai perasaan seperti;
suka dan seronok dalam berbuat ibadat, atau
merasai manis dan lazat untuk sentiasa beribadat atau
perasaan kecut atau takut dengan Kekuasaan Allah atau
diberikan kemudahan untuk memahami sesuatu Ilmu yang tinggi-tinggi dan yang susah bagi kebanyakan orang, atau
didatangi perasaan Kasih dan Cinta kepada Allah yang amat sangat.

Friday, July 23, 2010

Suratan Takdir dan Hadiah


Kata pepatah ... " Berhadiah-hadiahlah di antara kamu, nescaya bertambah kasih sayang di kalangan sekelian kamu"


Bulan Sya'ban sudah sinonim dengan bulan amal dan hadiah kerana padanya terdapat Malam Nisfu Sya'ban iaitu pada malam ke 15 hb merupakan malam penuh berkah dan suratan takdir dan amalan manusia di angkat ke langit ke sisi Allah Rabbul Jalil. Pada malam tersebut Allah Taala akan memandang akan hambanya yang beramal dengan pandangan kasih sayangNya. Adalah digalakkan supaya menambahkan amal ibadat seperti zikir,bacaan al quran, tahlil, bersedekah dan sebagainya kerana banyak ganjaran yang dijanjikan Allah Taala.


Adapun ulama-ulama telah menyusun amalan yang khusus untuk diamalkan iaitu bacaan Surah Yaasin sebanyak 3 kali berserta dengan doa-doanya sekali ;

1. Dikurniakan iman yang kuat dan tetap sehingga husnul khatimah

2. Dipanjangkan umur dalam taat

3. Dikurniakan rezeki yang berkat


Di bulan Sya'ban jugalah amalan kenduri untuk tahlil untuk arwah keluarga yang telah meninggal dunia diadakan saban hari dan tempat di negara kita Malaysia ini. Amalan baik ini secara tidak langsung dapat mengeratkan tali kekeluargaan Islam serta silaturahim dan juga ikatan ukhuwwah Islam di kalangan masyarakat kita.


Kesempurnaan amalan yang dilakukan bergantung kepada tertib, susunan dan perlaksanaannya. Natijah atau hasil daripada amalan akan dapat diperolehi hanyasanya melalui kualitinya iaitu ; terang dan betul bacaan sama ada doa ,zikir, istighfar, selawat dan juga al quran.


HADIAHKAN BARANG DENGAN HADIAH YANG BAIK DAN SEMPURNA KEPADA SESEORANG YANG KITA KASIHI..

Tuesday, July 20, 2010

Dosa dan Taubat

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ . ﴿وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
( Ayat 7 - 8, Al Zilzilah)

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Dosa adalah tetap dosa tak kira sama ada besar ataupun kecil kerana ianya adalah perkara yang dibenci oleh Allah Taala, dosa - dosa yang dikerjakan akan menggelapkan hati pelakunya jika tidak disegerakan atau disusuli dengan taubat. Begitu juga dengan pahala tak kira kecil atau besar nescaya akan dihitung dan dibalas kerana ia merupakan nur yang disukai oleh Allah Azza Wa Jalla.

Monday, July 12, 2010

Masjid Kg Laut, Kota Bharu Kelantan











Sewaktu dalam perjalan balik dari KB ke KL pada musim cuti sekolah March 2010, singgah sebentar di Masjid Kg Laut yang terletak bersebelahan Akademi Islam Nilam Puri Kota Bharu Kelantan. Alhamdulillah sempat bertahiyyatul masjid , tilawatul quran dan i'tikaf sekejap di dalam masjid tersebut.

Terasa damai dan tenang di dalam hati mengenangkan perjuangan ulama- ulama dahulu yang sanggup merantau menyampaikan dakwah dan seruan Islam, mendapat pelbagai ujian dan cabaran sehingga berjaya membawa mesej Tauhid,Syariat dan Akhlak Islam sampai ke alam nusantara Melayu termasuk Tanah Melayu ( Malaysia ) sekarang ini.
Syukur kehadrat Allah Azza Wa Jalla kerana diri ini termasuk di dalam orang - orang yang ditakdirkan menerima seruan tersebut. Mudah-mudahan berkekalan sehungga mendapat Husnul Khatimah nanti InsyaAllah.










Wednesday, July 7, 2010

Istighfar Rejab



Rejab..satu -satunya bulan haram dari 4 bulan haram yang berasingan dgn 3 bulan yang lain iaitu ; Zulqaedah , Zulhijjah & Muharam.

Terdapat peristiwa yang sangat penting dan bermakna bagi Sayyidina Rasulullah Muhammad s.a.w dan juga umat Islam iaitu Isra' Mi'raj.