Anak Kelahiran Kg Beringin Kota, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Masyhur dikenali oleh generasi tua dgn Kg Kelaba kerana moyang ambo Tok Awang Anak ( Awang Bin Abdullah ) adalah berasal dari Kg Kelaba Pattani Darussalam. Moyang ambo dikenali juga dgn Tok Awang Anak kerana beliau adalah anak sepupu kepada isterinya iaitu Wan Fatimah Bt Wan Ismail.
Monday, August 1, 2011
Nostalgia Ramadhan & Kemanisan Beribadah
Sabda Nabi s.a.w "Inilah bulan yang pada permulaannya membawa rahmat Allah, pertengahannya memperoleh keampunan (maghfirah) dan penghujungnya mendapat kebebasan dari api neraka" (H.R Ibn Khuzaimah)
Alhamdulillah dipertemukan lagi ambo dengan Ramadhan pada tahun 1432H ini. Terkenang kembali kepada suasana Ramadhan dalam hidup ambo seawal-awal kehidupan di kampung iaitu KB Kelate, kampus UTM Skudai Johor, alam bujang dan berkerjaya di Batang Kali dan Petaling Jaya Selangor. Alam keluarga di Puchong dan Kajang Selangor.
Ramadhan di KB Kelantan.
Zaman kecil2 iaitu bermula seawal 6 tahun.. ambo yg mula mengaji dengan Almarhum Pak Da Sim ( Hj Mohd Qosim B Hj Zakaria ) dan Almarhum Pak Nik ( Junoh B Yahya ). Ikut berterawih di rumah Pak Nik dgn sedara mara lain spt sepupu dan lain2. Bila besar sikit dah berani keluar berjalan kaki dengan oghe2 tuo dan saing sepupu ke madrasah Pak Chik Nuh bersebelahan dengan rumah Cikgu Omar...
Pada tahun 1989... satu sejarah bermula sebab pada masa tu terbina satu bangunan madrasah baru bersebelahan rumah guru ambo, Pak Da Sim .. masa tu umur ambo 15 thn dan baru lepas menduduki periksa SRP... Telah ditakdirkan oleh Allah taala untuk terus berada di kampung bersama keluarga walaupun memperolehi keputusan yang baik dalam SRP.. Itulah hikmahnya iaitu pada Ramadhan tahun 1990 ambo telah dilantik/suruh oleh tok guru sebagai bilal bagi solat terawikh di samping khidmat-khidmat lain bersama2 dengan murid2 lain spt Roslan , Rosdi dan lain2.
Dengan berkat hemmah guru dan taat ambo kepadanya, ambo tidak pernah tinggal solat terawikh pada tahun tersebut disebabkan dgn tanggungjawab sebagai bilal sehinggamana membolehkan ambo hafal doa selawat dan susunan surah yang lazim diamalkan padanya. Pernah ambo diberitahu oleh Ustazah Mek Syarifah di SMK Kota KB, semasa di tgktn 4 ketika itu bahwa ada cahaya dari wajah saya kerana solat dan wuduk. Bermula dari itu juga ambo dipilih pihak sekolah untuk membaca doa waktu pagi bergilir2 dengan pelajar tingkatan 6 sebelum masuk ke kelas.
Begitu juga pada Ramadhan 1991, ambo sekali lagi ditugaskan sebagai bilal terawikh.. tetapi kali ini ambo tidak menghabiskan berterawikh di madrasah PaK Da Sim tersebut semuanya. Pengaruh kawan-kawan dan perasaan negatif ingin bebas telah mula menyelinap dlm hati ambo. Pada satu malam ambo telah pergi berterawikh di Masjid Kota bersama dgn saing kononnya mencari kelainan dan perubahan. Pada malam esoknya ambo telah dimarahi oleh almarhum Pak Da Sim kerana tidak berterawikh bersamanya.. Ambo mendapat berita bahwa sebenarnya akan disuruh menjadi imam solat terawikh tersebut krn Ustaz Omar ( anak Pak Da Sim ) yang sepatutnya menjadi imam terpaksa menghadiri program di sekolahnya. Menyesal tak sudah ambo mlm tu.. Ambo pun minta maaf ko tok guru pasal kejadian malam sebelumnya. Sampai ke hari ini ambo masih lagi terbayang2 teguran dan nasihat yang diberikan olehnya kepada ambo...
....." Bakpo Zaini tok maghi malam tadi? Zaini gi terawikh mana? Pak Do tok cekkat doh nak berdiri lamo jadi imam.. Ustaz Omar kena gi sekolah..Ingatkan nok suruh Zaini jadi imam. Dah tok suko sembahyang sini ko , gi sembahyang masjid cari tempat besar,sohor dan ramai orang"...
Ramadan di kampus UTM Skudai Johor.
Suasana lebih meriah dengan solat di Masjid Sultan Ismail,UTM yang besar dan tersergam indah. Tambahan pula dengan adanya Imam-imam hafiz al quran yang turut menyerikan solat terawikh di samping dua imam tua iaitu Ustaz Busran dan juga Ustaz Husin.. Masih lagi ambo ingat dengan Imam Hafiz Zulkifli yang bersahaja serta bacaannya yg lancar ketika mengimami solat terawikh. Sempat juga ambo mengambil ilmu asas tajwid dan hafalan surah-surah al quran dengannya semasa berada di UTM. Alhamdulillah ,walaupun terpaksa berjalan kaki dari kampus menuju ke masjid ambo berserta dengan kawan-kawan belajar spt Yusnan,Rosman,Nasrudin,Ahmad,Adli,Hanizun dan Abdullah Hisam( sekadar menyebut beberapa nama) tidak jemu2 hadir untuk berbuka puasa , berterawikh,bertadarus dan qiamullail di masjid tersebut. Di masjid UTM ni juga ambo dan kawan2 turut menolong pihak masjid di dalam penyediaan makanan berbuka puasa... sehingga ada satu pantun dua kerat yg tak dapat ambo lupakan semasa disapa oleh seorang kakitangan UTM yg sama2 berbuka puasa..." Buah durian kulit emas, Siapa kemudian dia yang kemas". hehehe
Tanpa disangka2 ambo dan kawan2 yg istiqomah di masjid dihadiahkan dengan kain pelekat oleh pihak masjid bila tiba hari raya... Alhamdulillah...
Ramadhan di rumah bujang semasa bekerja..
Setelah tamat pelajaran di UTM iaitu 1997... ambo memulakan alam kerjaya di pekan kecil Batang Kali dengan berkerja kilang ACPI , pembuatan segmen pra tuang konkrit untuk projek LRT. Duduk di rumah syarikat di Hulu Yam Bharu, ambo berpuasa dan berterawikh secara sederhana bersama-sama dengan kawan2 bujang yang lain... Makanan tapau dan berterawikh di masjid yang berhampiran iaitu pekan Hulu Yam Bharu.
Selepas raya iaitu awal 1998 pula ambo dipindahkan ke ibu pejabat yang bertempat di Petaling Jaya, Selangor. Kali ini ambo terpaksa menyewa bersama2 dgn member iaitu Sham Johor di USJ, Subang Jaya. Tak disangka pula mendapat seorang rakan sekerja yang sporting dan byk menolong iaitu Kak Zainab yg berkebetulan tinggal di USJ juga.Sebagai orang bujang yang baru pindah ke KL,, ambo ada banyak masa free, jadi Kak Zainab meminta ambo untuk mengajar serba sedikit sepasang anaknya iaitu Amirul(meme) dan Nur Sufiah(Jiji) yang akan mengambil peperiksaan UPSR. Ambo setuju aje dan tidak menolak. Tiap2 hari Sabtu & Ahad ambo berjalan menuju ke rumahnya yang berada tidak jauh dari rumah sewa ambo utk mengajar anak2nye.
Nah pada akhir 1998, sekali lagi ambo dihantar selama 2 bulan bertugas di kilang ACPI Gelang Patah bagi membantu Pengeluaran Terowong Konkrit Pra Tuang untuk Projek MRT Tunnel Lining , Singapura. Ambo sempat berpuasa selama 3 minggu di Gelang Patah Johor bersama-sama dengan rakan sekerja iaitu Yahzulatfi(Atan) dan juga Zainal. Sebelum raya ambo telah dipanggil balik ke ibu pejabat Petaling Jaya untuk bekerja di sana... Ambo kembali ke PJ dan tinggal bersama sahabat Ismail PJ di seksyen 14 sehinggalah berumahtangga pada tahun 2000. Di rumah inilah ambo mendapat kawan2 yg membuka hati ambo kepada jalan pengajian pondok/kitab di Al Jenderami iaitu Saudara Rosli Said ( Che Zam )dan juga Sdra Ismail Ahmad Shazali(yob).
Alhamdulillah sampai sekarang ambo masih kekal bersahabat dgn mereka hingga dikenali sebagai group Ismail PJ oleh jemaah al jenderami. Ramadhan di PJ menjadi lebih meriah krn kami tinggal berdekatan dgn masjid iaitu Masjid Haji Kamaruddin , PJ. Tambahan pula ambo sudah pun menjadi ahli pengajian al jenderami dpt merasai kemanisan beribadah puasa dengan sahabat2 dengan mengadakan solat terawikh berjemaah di rumah bujang tersebut. Sdra Ismail menjadi imam dan ambo menjadi bilal.....selama 2 tahun ambo berpuasa di rumah bujang tersebut iaitu 1998 dan 1999.
Ramadhan bersama keluarga.
Selepas berumahtangga pada tahun 2000, ambo menyewa sebuah rumah kampung di Jenderam Hilir ,Dengkil Selangor bagi memudahkan diri utk mengikuti pengajian di Al Jenderami. Kali ini dpt berpuasa di kampung serta berterawikh di Al Jenderami dalam suasana cabaran pengantin baru. Teringat kata2 Tok Guru Syeikh Hafiz...
" Amalan orang bujang hanyalah empulur.. Amalan sebenar adalah sesudah perkahwinan kerana banyak cabaran dan halangan perlu dihadapi serta memerlukan pertimbangan yang tepat dan pengorbanan." .
Pada June 2001 ambo berpindah pula ke Puchong bersesuaian dengan perpindahan isteri ambo yg bertugas sebagai guru dari Batu Pahat, Johor. Kini baru benar2 terasa seperti orang berkahwin kerana dapat tinggal bersama setelah hampir setahun berumahtangga. Ambo menjalani rutin ramadhan iaitu terawikh di Masjid Kg Sri Aman , Puchong..Alhamdulillah sesuai dengan kaji iaitu terawikh 20 rakaat diikuti dengan tahlil dan tadarus. Kekadang ambo berterawikh di rumah saje bersama isteri yg sedang sarat mengandung anak pertama.
Pada tahun 2004, ambo pindah lagi ke apartment bersebelahan yang lebih selesa. Alhamdulillah , ambo mendapat jiran baik iaitu Abg Shaari merangkap pengerusi surau di kediaman tersebut. Hubungan baik memberi peluang ambo mengikuti program surau tanpa rasa segan. Namun bila tiba Ramadhan ambo terasa tidak senang dengan program terawikh yg dilakukan. Ambo terpaksa menarik diri dari bersama2 ahli surau kerana pengerusi tersebut kononnya ingin menuruti kehendak jemaah yang ramai sukakan amalan terawikh 8 rakaat. Mcm biasa ambo berterawikh di Masjid Kg Sri Aman bersebelahan kawasan perumahan. Pada Ramadhan tahun 2006 barulah ambo mendapat tahu bhw pihak surau telah menjalankan terawikh 20 rakaat setelah pengerusi dan orang2 kuat surau berkeras mengkehendakinya. Kali ini ambo tetap dgn jemaah surau sehingga habis ramadhan tahun tersebut.
Selepas raya 2006, ambo pindah ke rumah yg dibeli di Kajang sehingga kini...ambo yang ketinggalan untuk menduduki rumah selama setahun kerana rumah siap dan boleh diduduki pada tahun 2005. Di Kajang ini ambo berjiran dengan sahabat serumah di PJ dulu iaitu Sdra Ismail. Alhamdulillah dapat bersahabat,berjiran dan mengaji bersama-sama dengannya dengan berkat wasilah ALJENDERAMI. Di sini pun ambo berserta saeng sohabat terpaksa menjadi 'kera sumbang' di dalam amalan bulan Ramadhan kerana ketidaksesuaian dengan amalan setempat... Kata orang " Tak Sama Kaji"... Kami sama2 ahli pengajian yang tinggal di sini bertambah menjadi 4 orang dgn 2 sahabat baru iaitu Sdra Amri dan juga Tuan Musa. Bak kata orang " Di mana ada kemahuan , Di situ ada jalan." Dengan hemmah saeng sobat, kami semua berjaya mengikuti program ramadhan di Surau Al Hidayah , Surau lama Kg Sg Balak bersebelahan dengan taman kediaman kami.
Khulasah
Jika kite mencari kemanisan dalam beribadah, insyaAllah Allah Taala akan sediakan kemudahan dan jalan baginya. Rugilah bagi sesiapa yang berusaha menutup akan jalan kemanisan beribadah dan menukarkan pula dengan cara2 baru yg konon-konon lebih baik. Sepatutnya buatlah perubahan dengan menambahkan amalan2 baru yang baik tanpa meninggalkan amalan2 lama yang sudah terbukti hasilnya kerana amalan orang dulu-dulu merupakan MODAL manakala tambahan amalan orang kemudian adalah BONUS.
Ingatlah pada pesanan... "Brg siapa yang menunjukkan akan jalan kebaikan dan dituruti pula akan kebaikan tersebut nescaya akan dibalas akan dia oleh Allah SWT dan barang siapa yang menunjukkan akan kesesatan atau bid'ah dan dituruti pula akan amalan tersebut maka akan turut mendapat ganjaran yang setimpal".
p/s - Di dalam sepanjang hidup beramal pada ramadhan, ambo tidak dapat mengelakkan untuk memuji dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dijinakkan hati kepada ALJENDERAMI kerana di sanalah ambo dapat mengecapi nikmat kemanisan beribadah. aaamin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment