Monday, March 26, 2012

BONUS


Hendak diceritakan pula mengenai hal perihal BONUS. Maka sudah tentu ia akan melibatkan tugasan dan pekerjaan serta balasan tambahan ataupun imbuhan yang diperuntukkan kepada setiap individu yang telah dipertanggungjawabkan dan ditetapkan berdasarkan kepada penilaian yang tertentu.

Penilaian terhadap pencapaian tugasan dibuat setelah cukup tempoh haulnya iaitu setahun. Penilaian berkala pula dibuat bagi memastikan pencapaian terhadap kerja dapat dipantau dan diselaraskan dengan lebih berkesan. Maka timbulah pula istilah Penilaian Pertengahan Masa.

Sesudah tiba waktu untuk dibuat penilaian akhir ; biasanya setelah habis tahun yang berkenaan maka terlalu sibuklah "Bahagian Penilaian" sekeliannya bermula dengan ketua suku dan juga juak-juaknya sekali kerana tugasannya sebagai penilai juga akan dinilai nanti akhirnya. Maklumlah dengannya juga mereka akan mendapat BONUS nanti.

Setiap pencapaian kerja bagi diri masing-masing akan dihisab berdasarkan kepada format Indek Pencapaian yang telah juga ditetapkan. Imbuhan atau bonus akan diberikan berdasarkan kepada hasil pencapaian yang telah dinilai dan dipersetujui di antara yang empunya diri pekerja, pegawai di atas yang dirujukkanya dalam tugasan dan juga ketua pegawai yang menjadi penentu di dalam setiap tugasan.

Setelah ditokok tambah dan diselaraskan maka dapatlah hasil yang muktamad kononnya. Maka berdasarkan kepada nilai itulah BONUS diberikan kepada pekerja sebagai ganjaran bagi mengimbali akan hasil kerja yang telah dicapai pada tahun tersebut.



Bersyukurlah kepada Allah Azza Wa Jalla yang bernama Ar Razzak dan Al Wahhab kerana mengurniakan rezeki termasuk BONUS kepada setiap manusia. Maka apakah natijahnya pula dengan pemberian BONUS tersebut kepada kita semua? Adakah akan menjadi seorang yang kembali rajin taat beramal dan beribadah mengerjakan suruhanNya atau menjadi manusia yang lupa tentang hakikat asal kejadian kita sebagai hambanya. Jika kita lupa akan tuntutan kejadian sebenar maka sudah tentu menjadilah kita kepada seorang yang berpegang atau pun yakin kepada usaha ikhtiar semata-mata. Dikhuatiri pula nanti menjadi golongan Qadariyah, Jabariyah & Mu'tazilah bila mana tidak mengikat sesuatu pekerjaan yang dilakukan kepada Allah S.W.T.

Harus diingat bahawa 'penilaian' Allah Taalalah yang maha adil dan teliti terhadap sesuatu. Maka indek pencapaian mana yang terlebih patut kita utamakan di antara indek syarikat ataupun agama. Alangkah terlebih elok jika diselaraskan di antara indeks syarikat dan agama sekaligus kerana itulah yang menjadi lebih ideal buat kita sebagai seorang muslim yang bekerja di dalam kehidupan beragama.

Ada tertulis di dalam kitab, siapa yang syak pada rezeki akan dipaling wajahnya dari kiblat di dalam kubur.

No comments:

Post a Comment